Oleh S.A Najmuddin
Kuala Lumpur -- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mengadakan 'Khemah Kerja Perdana' Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, bermula 30 April sehingga 3hb Mei 2009 ini. Ketua Penerangannya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata khemah kerja itu akan dihadiri seluruh Exco dan Ketua-Ketua Pemuda UMNO negeri dalam usaha membawa hasrat dan niat untuk memperkukuh agenda gerak kerja Pemuda di segenap peringkat. Menurut beliau pasca pemilihan UMNO yang lalu, ahli Pemuda di seluruh negara menantikan halatuju dan gerak kerja yang bakal dilaksanakan selepas ini. "Matlamat khemah kerja ini bertujuan untuk membina kesepakatan dan semangat kerjasama, membina 'esprit de corp' yang kukuh, menentukan gerak kerja Pemuda, memperteguh jatidiri dan membugar semula agenda latihan dan pendidikan politik seperti yang dikehendaki oleh YAB Presiden parti", katanya. Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Tambah Reezal lagi, Ketua Pemuda UMNO Malaysia YB Khairy Jamaluddin dan keseluruhan saf kepimpinan akan menggariskan agenda gerakan yang menyeluruh. "Ini termasuk penyusunan dan penubuhan biro-biro yang selari dengan cita dan hasrat kepimpinan parti. Kita cukup yakin khemah kerja ini akan membawa hasil yang baik dan positif. "Lebih penting lagi, semua hasrat dan keinginan pelaksanaan gerak kerja ini mesti diturunkan kepada peringkat akar umbi dengan seberapa segera", ujarnya. Khemah Kerja ini juga kata beliau lagi dijangka menjadi platform perbincangan tentang pelbagai 'approach', mekanisme dan kaedah baru Pemuda dalam mendekati generasi muda. Beliau berkata selain itu, ianya juga bakal melahirkan komitmen Pemuda dalam menjadi 'catalyst' dan pemangkin usaha pemerkasaan parti akan dimulakan dengan seberapa segera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment