TAIP 'KB' DAN HANTAR SMS KE 33555

TAIP 'KB' DAN HANTAR SMS KE 33555
A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESS OWNER. PLEASE TYPE 'KB' AND SEND SMS TO 33555

TYPE 'KB' & SEND SMS TO 33555. A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESSMAN/WOMAN ALL OVER MALAYSIA!

TYPE 'KB' & SEND SMS TO 33555. A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESSMAN/WOMAN ALL OVER MALAYSIA!
A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESS OWNER ALL OVER MALAYSIA. TYPE 'KB' AND SEND SMS TO 33555. ESTABLISH A NETWORKING AMONG KELANTANESE BUSINESS COMMUNITY.

Thursday, April 9, 2009

ARTIKEL BERKAITAN PRK BUKIT GANTANG & BUKIT SELAMBAU - RAKYAT MASIH MENOLAK BN!







Di sini saya lampirkan 2 artikel untuk diselami dengan lebih mendalam akan peri penting dan relevannya Kerajaan BN yang ada pada hari ini di mata rakyat jelata, terutamanya pengundi-pengundi baru dan muda. Kenapa majoriti rakyat masih berpihak kepada 'Pakatan Rakyat'. Persoalannya, adakah 'PR' itu satu-satunya alternatif untuk rakyat? Kepimpinan UMNO seluruh peringkat harus mendalami, menyelami serta cuba memahami 'KEHENDAK' serta 'ISYARAT RAKYAT'. Persiapan menghadapi PRU13, harus bermula daripada sekarang. Bagi BN, banyak pengajaran yang boleh ditimba menerusi pilihan raya kecil kali ini termasuklah mengkaji semula jenteranya dalam mendekati peringkat akar umbi.
Sebaliknya jentera pakatan pembangkang bergerak aktif pada setiap masa malah sebelum penamaan calon lagi mereka sudah menyediakan kajian menyeluruh terhadap masalah penduduk setempat.
Satu contoh ketara semasa berlakunya ribut yang merosakkan 40 rumah di Kampung Bukit Rusa, di Bukit Selambau, jentera pakatan pembangkang terlebih dahulu tiba memberi bantuan kepada mangsa manakala jentera BN sekadar meninjau keadaan mangsa ribut.
Melihat jumlah undi yang diperoleh oleh Ganesan, apa yang jelas ialah terdapat anggota parti BN yang tidak memberi undi kepada calon BN. Ini kerana jumlah anggota parti komponen BN dalam kawasan Bukit Selambau ialah 15,751 orang iaitu 7,328 ahli Umno, 2,043 ahli MCA dan 6,380 ahli MIC. Namun, calon BN hanya memperoleh 10,229 undi dan calon PKR S.Manikumar mendapat 12,632 undi.
Saya amat bersetuju dengan cadangan Satu badan bebas akan ditubuhkan bagi mengkaji dengan lebih tepat punca kekalahan Barisan Nasional (BN) di kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mencadangkan perkara tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Penubuhan badan bebas ini supaya kita dapat mengetahui secara lebih tepat sebab-sebab kekalahan sama ada dari sudut jentera atau apakah isu yang sebenarnya telah mempengaruhi pengundi,”. Hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pelajaran, dilihat sebagai tokoh terbaik yang diangkat oleh akar umbi UMNO seluruh peringkat untuk memulih serta memperkasakan UMNO supaya lebih diterima rakyat.



Saya turut terkedu dan pernah dimaklumkan melalui kajian dan pemerhatian serta analisa yang dilakukan oleh Tokoh Ilmuwan Prof Datuk Ibrahim Bajunid, bahawa ' out of 10 young voters, only 2 of them will support UMNO & Kerajaan, and the others will proudly and continues support the opposition '. Ternyata fakta dan analisa ini tidak memihak kepada UMNO dan hakikatnya, mekanisma, ramuan serta pendekatan harus segera diambil bagi memperbetulkan stigma yang tidak memihak kepada UMNO tersebut. Kita sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, harus sedar dan mula mendalami serta memperteguhkan 'fundemental' yakni asas terhadap perjuangan UMNO demi kepentingan orang Melayu khususnya. Renung-renungkan.






helmiehassan






'Terpedaya' lakonan pengundi
Oleh NIZAM HAMIDpengarang@utusan.com.my
TSUNAMI politik yang berlaku tahun lalu dilihat masih berlaku sehingga kini apabila keputusan pilihan raya kecil semalam menyaksikan pakatan pembangkang terus diterima oleh pengundi.
Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kelmarin merupakan bukti bahawa Barisan Nasional (BN) belum mampu keluar daripada tsunami itu walaupun beberapa langkah perubahan telah diambil.
Malah BN juga belum dapat membaca hati pengundi terutama di kalangan bukan Melayu khususnya kaum Cina dan India.
Komposisi pengundi di DUN Bukit Selambau adalah Melayu mewakili 51 peratus, Cina 19 peratus dan India 29 peratus manakala kaum-kaum lain satu peratus.
Walaupun riak dan maklum balas daripada pengundi terlibat menampakkan angin perubahan yang semakin positif, keputusannya tetap tidak berpihak kepada BN.
Berilah mereka projek dan janjilah pelbagai program pembangunan, undi mereka tetap sukar diperolehi malah pengundi bukan Melayu juga sudah terikut rentak "beri kita ambil, undi tidak bagi" dan berpegang pada kata-kata "pengundi bijak hanya makan umpan.
Ini terbukti menerusi beberapa projek yang diberikan Kerajaan Pusat kepada masyarakat India di DUN Bukit Selambau.
Dua buah sekolah Tamil di Sungai Petani menerima pakej rangsangan awal yang diberikan Kerajaan Pusat bernilai kira-kira RM400,000 bagi tujuan naik taraf selain kemelut tanah di Kampung Sungai Tukang yang diselesaikan dengan pembelian tanah RM2 juta oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) daripada sebuah koperasi bagi membolehkan masyarakat India di situ terus tinggal di penempatan berkenaan.
Namun ketika tumpuan diberikan kepada pengundi kaum India di kawasan berkenaan yang dikatakan lari daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu, masyarakat Cina pula menimbulkan rasa tidak puas hati kerana mereka tidak menerima pakej rangsangan yang sama.
Pengerusi Kajian Ketahanan Negara, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizzuddin Mohd. Sani bersetuju bahawa antara faktor kekalahan BN adalah kerana tidak mendapat sokongan daripada kaum Cina dan India selain sebahagian pengundi Melayu yang terus kekal dengan pakatan pembangkang.
"Pengundi Cina sejak awal lagi sudah menunjukkan kecenderungan kepada pakatan pembangkang dan ini boleh dilihat apabila mereka memakai baju dan logo Pas, DAP serta PKR.
"Malah jentera BN terutamanya MCA dan Gerakan tidak begitu agresif dalam kempen di kawasan pengundi Cina. Kita dapat lihat bilik gerakan MCA ditutup pada pukul 11 malam tetapi bilik gerakan pembangkang dibuka hingga ke awal pagi," katanya.
Beliau yang mengikuti perjalanan kempen tersebut sejak seminggu lalu juga memberitahu, pemerintahan pakatan pembangkang di Perak dan Pulau Pinang juga banyak mempengaruhi masyarakat Cina di Kedah terutama dalam soal pemberian tanah dan pelbagai peluang ekonomi lain kepada mereka.
Malah katanya, 'rampasan kuasa' di Perak menjadi satu isu besar di kalangan pengundi Cina terutama selepas melihat banyak manfaat kepada kaum itu jika kerajaan negeri dikuasai pakatan pembangkang.
Sentimen Hindraf dan Makhal Sakti katanya, masih kuat di kalangan pengundi India yang terus bersimpati dengan pertubuhan tersebut.
"Mereka juga mempertikaikan kenapa kerajaan hanya membebaskan dua dan tidak semua pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," ujarnya.
Kebanyakan pengundi juga katanya, melihat prestasi wakil rakyat BN selama ini yang tidak begitu cemerlang sehinggakan masih ada kawasan yang belum mendapat bekalan air bersih.
Namun sehingga pengundian berakhir petang kelmarin, BN masih yakin dengan sokongan masyarakat India terhadap parti itu dan peningkatan sokongan pengundi Cina dengan kemasukan semula bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke dalam BN.
Mereka percaya dengan maklum balas positif dan janji sokongan daripada pengundi terlibat. Tetapi lakonan dan janji manis mereka akhirnya terserlah apabila keputusan di peti-peti undi menunjukkan perkara sebaliknya berlaku.
Satu yang pasti di Bukit Selambau, pengundian tidak dibuat kerana kaum. Jika kaum menjadi asas utama, mungkin calon Bebas daripada kaum Cina, Tan Hock Huat akan memperoleh undi Cina tetapi beliau memperolehi 78 undi sahaja.
Malah calon Bebas Melayu yang paling popular, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid, bekas pemimpin UMNO Bahagian Merbok mendapat 528 undi manakala Husaini Yaacob pula mendapat 257 undi.
Undi rosak pula 415 undi sekali gus menunjukkan protes terhadap calon MIC, Datuk S. Ganesan bagi mewakili BN bukanlah begitu besar. Sebanyak 24,611 atau 70.28 peratus daripada 35,140 pengundi berdaftar yang keluar mengundi.
Sementara itu Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berpendapat, ada masalah sokongan di kalangan pengundi muda dan juga yang bukan Melayu apabila parti itu tewas di saluran pengundi muda dan kawasan bukan Melayu.
Katanya, ketiadaan platform dalam partiparti komponen seperti MCA untuk generasi muda menyebabkan sokongan kepada BN semakin terhakis di kalangan pengundi muda bukan Melayu.
"Kita sedar tentang masalah sokongan di kalangan pengundi muda tetapi apa yang kita lakukan. Kebanyakan pengundi BN adalah mereka yang sudah berusia dan akan meninggalkan kita.
"Sedangkan pengundi muda sepanjang masa bertambah dan jika BN gagal menarik sokongan mereka, BN akan kehilangan kuasa satu hari nanti," katanya.
Sebab itulah katanya, pergerakan tersebut melihat tentang perlunya penubuhan Puteri BN gabungan daripada suara orang muda di dalam parti-parti komponen bagi membolehkan gerak kerja dilakukan bagi menarik sokongan generasi muda termasuk di kalangan bukan Melayu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Mohd. Noor Abd. Aziz pula mempunyai pandangan berbeza dalam kempen pilihan raya kecil di Bukit Selambau khususnya berkaitan dengan jentera yang terlibat dalam kempen.
"Kita kena mencontohi Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun ke kawasan penempatan penduduk dengan bersikap rendah diri sambil berjalan kaki sahaja.
"Tetapi saya lihat jentera BN turun ke kampung-kampung dengan menaiki kereta mewah sedangkan sesetengah rakyat hidup dalam kemiskinan," ujarnya yang berkempen di peti undi Kuala Sin.
Katanya, deretan kereta mewah yang masuk ke kampung-kampung bukan sahaja menarik perhatian ramai tetapi juga membawa imej kurang baik di kalangan pengundi.
Luahan hati Mohd. Noor itu tidak boleh dipandang ringan terutama sekali ketika kempen pilihan raya pakatan pembangkang menjurus kepada isu rasuah.
Memang mudah untuk menuduh si polan dan si polan kaki rasuah dan khalayak pendengar pula menerimanya secara bulat-bulat.
Dalam ceramah pembangkang, apa yang tidak mereka kata kepada pemimpin BN? Rasuah berbilion ringgit, mega komisyen malah terlibat dengan pembunuhan.
Hinggakan apabila ada jentera BN menaiki kereta mewah, kedengaran ada yang berkata: "Sudahlah, kereta mahal beli dengan duit rasuah."
Memang tidak adil secara semborono menuduh mereka hidup mewah hasil rasuah kerana sesetengah daripada mereka bertungkus-lumus berusaha mencipta kejayaan dalam kerjaya masing-masing.
Sudah tentulah mereka yang berjaya dalam pelajaran dan kerjaya mempunyai gaya hidup yang berbeza dengan kumpulan masyarakat yang pencapaiannya biasa sahaja.
Pemimpin pembangkang juga dilihat menggunakan kereta mewah tetapi itu tidak menjadi isu kerana yang sentiasa dipertikaikan ialah pemimpin BN dan mereka yang berada di sekelilingnya.
Pakatan pembangkang sebenarnya telah berjaya menanam imej rasuah pemimpin BN itu sehingga rakyat benci kepada parti itu. Ia bukan baru dilakukan tetapi sudah begitu lama diperkatakan dalam kempen-kempen mereka.
Tetapi itulah yang berlaku di peringkat bawahan, sesetengahnya tidak boleh menerima orang lain lebih hebat daripada mereka dan kepercayaan bahawa orang UMNO mewah kerana rasuah bukanlah satu yang luar biasa.
Maka mahu tidak mahu, para pemimpin BN yang menjadi sasaran perlu mengambil langkah bagi membetulkan imej itu supaya parti tersebut boleh meneruskan legasi para pemimpin terdahulu.
Transformasi di bawah kepimpinan baru sama ada dalam kerajaan atau pun parti ketika ini, perlu memberi hala tuju yang jelas dan membuktikan bahawa pemerintah sedia ada mempunyai kewibawaan dan integriti yang tinggi.
Mungkin nasihat Tun Mahathir di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani Ahad lalu wajar direnungi, "turunlah padang dan bersalamlah dengan rakyat."






Terjemahan 2 pilihan raya kecil
Oleh ROSLEE MARDAN
PENGUNDI Bumiputera masih menjadi penyumbang besar kepada undi yang diperoleh Barisan Nasional dan parti itu perlu melakukan sesuatu untuk meraih kembali sokongan pengundi bukan Melayu kepada parti pemerintah.
Semenjak pengumuman bahawa tarikh Perhimpunan Agung UMNO jatuh pada 24 Mac dan berakhir pada 28 Mac 2009 lalu, parti-parti politik termasuk komponen Barisan Nasional (BN) dan seluruh rakyat amnya telah membayangkan bahawa sebuah kerajaan baru bakal dibentuk di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru.
Peralihan kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang kini di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak memberi nafas baru kepada corak pemerintahan negara.
Bagaimanapun semangat konsep "Satu Malaysia" yang diperkenal oleh Najib seakanakan menjadi saingan kepada konsep yang juga cuba diperkukuhkan oleh parti komponen dalam pakatan pembangkang seperti DAP dan PKR.
Trend pengundi zaman sekarang bukan lagi berdasarkan kepada banyak mana pembangunan yang mampu diberikan oleh BN walaupun ia amat penting bagi negara.
Politik pembangunan kini sudah menjadi faktor sampingan yang boleh diketepikan oleh pengundi bila-bila masa sahaja dan diterjemahkan oleh mereka pada pilihan raya.
Trend ini sebenarnya dapat dilihat melalui cita rasa pengundi bukan Melayu dan juga kecenderungan parti bukan Melayu dalam BN yang inginkan perubahan daripada segi agihan kuasa melalui komposisi pemerintahan negara.
Jika dilihat di Sabah dan Sarawak, kaum bukan Bumiputera seperti Cina dan India masih kurang. Tambahan pula pendedahan politik kebangsaan seperti yang berlaku di Semenanjung tidak terlalu dirasai.
Kebanyakan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak juga adalah terdiri daripada masyarakat pribumi yang masih bergantung kepada peruntukan Perlembagaan dalam menjaga hak-hak mereka sebagai Bumiputera selain politik pembangunan yang masih diharapkan untuk mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar.
Oleh itu, boleh dikatakan bahawa kecenderungan mereka kepada parti pemerintah (BN) masih kukuh disebabkan jaminan tersebut. Justeru, kemenangan BN di Sarawak adalah atas faktor tradisi ini.
Tetapi kekalahan BN di dua kawasan pilihan raya kecil iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau menampakkan bahawa kaum bukan Bumiputera sebenarnya sudah tidak mengharapkan kepada politik pembangunan semata-mata.
Penulis berpendapat seakan-akan berlaku satu lonjakan tahap di mana sudah sampai ketikanya kaum bukan Bumiputera kini menginginkan agihan kuasa tertinggi dalam pemerintahan Malaysia bagi mewakili kaum mereka.
Ini penting kerana ia akan menjadi satu simbol pengiktirafan kepimpinan politik kaum bukan Bumiputera. Oleh demikian, kewujudan parti-parti liberal seperti PKR dan DAP merupakan pentas untuk melonjakkan keinginan agihan kuasa tertinggi dalam pemerintahan politik negara.
DAP sebelum ini telah mempelopori 'Malaysian Malaysia' yang mana menuntut supaya kuasa politik Malaysia bukan hanya dipegang oleh orang Melayu tetapi perlu juga mengambil kira semua kaum.
Namun di awal perjuangan DAP, sokongan daripada rakyat adalah kurang dan DAP tidak mempunyai teman parti politik khususnya daripada komposisi Melayu yang menyokong konsep liberalisme ekstrem mereka.
Sokongan PKR yang membuka keahlian pelbagai kaum selain keterbukaan Pas dalam melonggarkan konsep politik agamanya memberi kekuatan serta harapan bahawa suatu masa nanti kaum bukan Bumiputera boleh menjadi pemimpin tertinggi dalam negara.
Saat ini akan sentiasa menjadi impian dan idaman kepada kaum bukan Bumiputera yang kini sudah mempunyai parti alternatif untuk mengiktiraf kuasa politik mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Perlu diingat bahawa komposisi kaum di Malaysia bukan lagi secara majoritinya daripada kaum Melayu.
Orang Melayu hanya sah dalam Perlembagaan negara tetapi daripada segi peratus sokongan pengundian, kuasa kaum Melayu sudah boleh dinafikan.
Seandainya, orang Melayu cuma ada lebih kurang 30 atau 40 peratus daripada penduduk Malaysia (di Semenanjung), kuasa politik Melayu hanya akan ditentukan sejauh mana Perlembagaan Malaysia masih wujud dan bertahan.
Maka, mungkin terbayang di fikiran kita, kalau pakatan pembangkang memerintah, adakah Perlembagaan masih wujud atau dibuat satu Perlembagaan alternatif mengikut cita rasa kerajaan yang memerintah.
Tidak hairanlah kalau calon Pas di Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaludin mampu mengekalkan penerimaan rakyat terhadapnya walaupun krisis politik di Perak dikatakan menampilkan sikapnya yang sebenar.
Krisis di Perak adalah satu pakej iaitu hala tuju kuasa politik kaum. Nizar dapat memerintah bukan kerana kuasa politik orang Melayu tetapi diangkat kerana sokongan alternatif daripada kaum bukan Bumiputera.
Dalam BN, kaum bukan Bumiputera juga telah lama menginginkan agihan kuasa yang saksama dalam pemerintahan tertinggi sama ada peringkat negeri atau negara.
Tetapi atas faktor sejarah dan tradisi serta budaya yang disemai sejak Parti Perikatan dulu, maka hasrat itu tidak pernah diluahkan oleh mereka.
Pengundi bukan Bumiputera sebenarnya tidak lagi mengharapkan parti-parti dalam BN untuk mengetengahkan cita-cita mereka sehinggalah mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada parti alternatif seperti DAP dan PKR. Bagi penulis, walaupun PKR kini dipimpin oleh orang Melayu, namun adakah kitaran kepimpinan parti tersebut mesti diberi kepada orang Melayu?
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan selama-lamanya memegang tampuk kepimpinan PKR. Sampai masanya, Anwar akan diketepikan.
Anwar sebenarnya hanya pengukuh kepada parti itu di persada politik negara. Setelah itu, parti tersebut akan digunakan sepenuhnya oleh kaum bukan Bumiputera untuk melonjakkan kuasa mereka setanding dengan kuasa politik orang Melayu.
Dalam menghubungkan faktor kekalahan BN dan cita-cita agihan kuasa bukan Bumiputera, penulis cuba mengaitkannya dengan beberapa saranan daripada parti komponen BN. Mereka juga inginkan pemerintahan tertinggi kerajaan diisi oleh orang bukan Melayu.
Cadangan tersebut sebenarnya sudah pun bergema selepas Pilihan Raya Umum 2008 lalu dan selepas Najib mengambil alih teraju kepimpinan baru-baru ini, timbul pula cadangan diwujudkan Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk mewakili kaum bukan Bumiputera.
Mungkin inspirasi untuk mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri itu dicedok daripada struktur kepimpinan di Pulau Pinang. Ada juga kemungkinan sistem penggiliran Ketua Menteri di Sabah pada masa lalu memberi asas kukuh agar perlunya mewujudkan jawatan tersebut kepada kaum bukan Melayu.
Bagaimana landskap politik Malaysia pada masa depan dengan perubahan besar yang dipamerkan oleh pengundi?
Bagaimana pula Najib akan mencorakkan politik negara dengan konsep Satu Malaysia yang pada pandangan penulis akan memperbanyakkan peluang dan tuntutan daripada kaum bukan Bumiputera serta seluruh rakyat.
Apa pun hakikat yang harus diterima semua ialah kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau adalah manifestasi daripada impian kuasa politik yang dipendam sejak sekian lama oleh kaum bukan Bumiputera di negara ini.
Tidak dapat tidak, hakikat ini mesti diterima dalam politik Malaysia pada hari ini.
UMNO dan BN tidak mempunyai banyak masa bagi menstrukturkan semula politik negara kerana prasyarat kepada pembangunan, kesejahteraan dan ekonomi adalah kemampuan kerajaan mengurangkan konflik politik supaya usaha mengurus negara tidak akan sentiasa terganggu.
ROSLEE MARDAN
Pusat Kemajuan Lestari Kedah,
Universiti Utara Malaysia

No comments:

Post a Comment