Sunday, November 28, 2010
28 Nov - 5 Dis : PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010
Ambil manfaat daripada penganjuran MAHA 2010
PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 yang diadakan dari 26 November hingga 5 Disember ini bukan sekadar pameran yang menonjolkan hasil-hasil pertanian dan ternakan negara.
Ia lebih kepada itu memandangkan ia turut melibatkan penyertaan peserta dari luar negara. Kita berharap sebanyak 15 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara usahawan tempatan dan luar negara sempena MAHA 2010 ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang menceburi bidang-bidang berkaitan.
Inilah yang kita mahu iaitu wujudnya kerjasama antarabangsa dalam membangunkan industri asas tani melalui penyertaan kira-kira 200 usahawan dari luar negara, selain 2,000 syarikat termasuk dari 22 negara yang mewakili benua Eropah, Afrika, Asia dan Asia Barat pada pameran tersebut.
Pameran yang diadakan dua tahun sekali ini juga jika dimanfaatkan sepenuhnya dapat membantu orang ramai memahami betapa pentingnya sektor pertanian dan penternakan kepada negara. Pemahaman itu perlu kerana dari situ akan terbit minat dan tanggungjawab untuk merancakkan kedua-dua sektor berkenaan demi kelangsungan hidup yang sejahtera rakyat negara ini.
Kita tahu betapa krisis makanan yang melanda dunia boleh mencetuskan pelbagai masalah seperti kekurangan bekalan makanan dan air bersih sekali gus menerbitkan pula masalah kesihatan ekoran kekurangan zat makanan terutama dalam kalangan kanak-kanak. Lihat sahaja contoh yang pernah dan sedang berlaku di beberapa negara di benua Afrika. Betapa sengsara dan menderitanya penduduk yang kelaparan, kurus kering dan berpenyakit.
Kesemua itu menyumbang kepada penurunan produktiviti apabila tidak banyak sumber-sumber yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan negara terutama sumber tenaga manusia mahir.
Menyedari itulah, kita faham kenapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian MAHA 2010 di Serdang, Selangor, kelmarin, berkata, kerajaan akan mengadakan kerjasama strategik untuk mewujudkan tapak pengeluaran makanan di luar negara sebagai salah satu usaha meningkatkan bekalan makanan di negara ini.
Mungkin ramai beranggapan kenapa perlunya mewujudkan tapak di luar negara, sedangkan masih banyak tapak di dalam negara yang boleh dibangunkan untuk tujuan tersebut.
Namun, itulah pemikiran jauh ke hadapan Najib yang melihat usaha membangunkan tapak pertanian di dalam negara lebih mahal, berbanding dengan luar negara. Ini kerana keluasan tanah pertanian dalam negara kita tidak boleh diharap kerana banyak kawasan pertanian kini telah bertukar status menjadi kawasan perumahan dan kilang. Keluasan yang terhad itu memaksa kerajaan memikirkan alternatif lain yang lebih murah untuk dijadikan tapak pertanian. Lihat saja betapa luasnya kawasan sawah padi di Kedah yang merupakan Jelapang Padi Negara telah dibangunkan dengan projek perumahan.
Selain itu, usaha tersebut juga dapat memberi manfaat kepada negara kerana sudah tentu akan wujud pertukaran idea antara negara-negara yang terlibat. Manfaatnya tentulah akan berbalik kepada rakyat negara ini.
MAHA 2010 yang diadakan selama 10 hari ini juga seharusnya digunakan oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak melawat tapak pameran. Sempena cuti sekolah sekarang, apa kata masukkan tapak pameran MAHA 2010 ke dalam kalendar percutian keluarga.
Memandangkan semakin banyak anak generasi sekarang tidak pernah melihat sawah padi, ayam, itik, kambing atau lembu kerana mereka membesar di bandar, maka inilah peluang terbaik untuk ibu bapa membawa anak-anak mengenali semua itu. Pasti anak-anak teruja melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat walhal, setiap hari mereka makan nasi di rumah. Pada pameran ini juga, anak-anak akan diperkenalkan dengan varieti padi MR253 dan MR263 yang dilancarkan oleh Najib, kelmarin.
Lebih daripada itu, inilah juga peluang untuk kita mengenali teknologi terkini yang digunakan dalam sektor pertanian dan penternakan. Bagi golongan petani dan penternak, inilah juga peluang untuk mereka berkongsi idea dalam meningkatkan produktiviti melalui penggunaan benih, teknologi dan infrastruktur baru.
Justeru, sebanyak 15 penemuan baru daripada Jabatan Perikanan yang turut dipamerkan boleh diguna pakai oleh mereka sekali gus memberi pulangan lumayan dalam industri perikanan.
MAHA 2010 sedia peluang jadi usahawan tani moden
PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang sekali lagi menjelma. Dalam kesibukan orang ramai terutama petani dan peladang dari seluruh negara melawat pameran yang diadakan, terselit beberapa individu yang bekerja di sektor awam dan swasta mengambil kesempatan mempergunakan kemahiran masing-masing untuk membuat sedikit keuntungan.
Sambutan terhadap pameran pertanian terbesar di negara ini, malah di Asia Tenggara membuktikan pertanian adalah satu bidang yang perlu diberi perhatian serius oleh generasi muda hari ini. Jangan jadikan MAHA umpama perhimpunan pemamer-pemamer dan tumpuan khalayak ramai semata-mata, tanpa kita mengutip sedikit faedah daripada penganjurannya.
Pesan ibu sering diingat, jika sebutir nasi jatuh dari pinggan, maka menitiklah setitis darah pesawah padi. Betapa ketika itu ibu mendidik anak-anak untuk menghormati jasa petani yang beliau sendiri tidak pernah temui. Namun generasi hari ini, ada yang langsung tidak boleh berbau nasi. Ada yang lebih betah makan stik mahupun burger resipi barat. Malahan ada generasi baru tidak berpeluang melihat petani dan sawah padi.
Pernah sekali seorang rakan dari Johor melawat kawasan sawah di Tanjung Karang yang ketika itu padi sedang menguning dan sedia untuk dituai.
Apa yang disaksikan ialah satu pandangan yang membuatkan kita terharu. Rakan tersebut terlalu asyik melihat sawah padi sehingga beria-ia merakamkan pemandangan dengan kamera digital. Kesimpulannya, dia telah makan nasi selama 30 tahun tetapi tidak pernah melihat sawah padi.
Maka peluang terbuka melawat MAHA 2010 perlu diambil oleh kita semua untuk mengenal apakah baja, benih, cara penanaman sesuatu produk pertanian termasuklah dua jenis padi baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, MR253 dan MR263.
Dewasa ini kita melihat anak-anak kita dari peringkat sekolah rendah hingga peringkat ibu bapa berminat bermain Farmville di dunia siber. Alangkah baiknya minat di dunia maya itu diterjemah ke dalam dunia nyata. Farmville mengajar kita menjadi petani moden yang penuh bersistematik dengan cara yang menggembirakan sehingga kehidupan seharian dilalui seolah-olah kita menjadi petani yang sebenar.
Bezanya pemain permainan siber ini akan bergelak ketawa di atas kerusi, petani pula berhempas-pulas di sawah padi di bawah terik mentari. Sebaiknya pemain yang kreatif dan ekonomik ini melangkah ke dunia nyata dengan melihat sendiri MAHA yang bukan sahaja boleh menjana ekonomi, malah ia juga mampu meluaskan horizon mereka dalam bidang pertanian moden.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan telah menguar-uarkan aspek memperkasakan pertanian baru. Ia bukan sahaja merangkumi aspek pertanian komersial dan bioteknologi, malah turut menekankan aspek pertanian sebagai satu perniagaan.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Menterinya Datuk Seri Noh Omar acapkali menguar-uarkan pertanian adalah perniagaan. Justeru, anak-anak muda di negara ini harus mengambil seberapa banyak ilmu yang mahal di MAHA yang tidak boleh diperoleh di dunia siber bagi menjadikan impian mereka menjadi usahawan tani yang berjaya menjadi realiti.
Di MAHA, para pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat teknologi dari sebilangan pemamer, malahan boleh bertanya sendiri dengan mereka tentang semua aspek produk dan teknologi berkenaan. Ia bukan sahaja merangkumi aspek pertanian komersial dan bioteknologi, malah turut menekankan aspek pertanian sebagai satu produk yang boleh menerobos ke dunia global.
Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha mencari inisiatif baru dalam membangunkan sektor pertanian dan industri berasaskan tani demi memastikan pembangunan bidang terbabit seiring arus moden. Kemodenan ini memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan bagi menerajui usaha menginovasikan bidang pengeluaran makanan dalam sektor pertanian.
Justeru, penganjuran MAHA 2010 perlu diambil peluang dalam setiap ruang oleh generasi muda yang hanya betah mengadap permainan ladang di dunia siber. Bagi memastikan kita dapat mewujudkan usahawan tani yang berjaya dan profesional, sewajarnya MAHA dianjurkan di seluruh negara dan tidak terhad di Serdang sahaja. Lokasi sekarang terlalu dekat dengan lebuh raya dan kemudahan letak kereta pula terhad. Diharap MAHA dapat diadakan di dunia tani sebenar seperti di Tanjung Karang.
Bak kata pepatah, jika ingin mengenali hidupan di laut, selamilah lautan dalam dan jika ingin jadi petani berjaya, selamilah kesusahan petani di sawah padi berlumpurnya sendiri. Pasti kita akan berjaya sebagai usahawan tani yang sebenarnya. Bukan hanya menggosok skrin berdebu di depan komputer sahaja. MAHA menanti untuk dikunjungi anak-anak muda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment