Oleh S.A Najmuddin
Kuala Lumpur -- Pemuda Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap keputusan pucuk pimpinan BN yang tidak meletakkan calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata sokongan ini kerana Pemuda BN melihat pilihan raya kecil itu adalah untuk memperlekehkan sistem demokrasi.
Selain itu tegas beliau lagi pilihan raya itu diadakan bukanlah kerana kekosongan disebabkan peruntukan di dalam perlembagaan tetapi ia dilakukan untuk menyelesaikan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Pilihan raya itu diadakan adalah untuk selesaikan masalah dalaman PKR serta untuk mempolitikkan semua isu.
"Kita tidak akan teriku-ikut dengan rentak tari pembangkang", katanya kepada laman webPemuda selepas mempengerusikan Mesyurat Pemuda BN di sini, Isnin malam.
Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya Mohammad Fairus Khairuddin melalui surat bertarikh 19 Mac 2009.
Mohammad Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lepas dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan rasuah.
Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.
Pada mesyuarat Pemuda BN itu juga, Khairy turut memberitahu pergerakan itu bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Pemuda BN yang akan bertindak sebagai penyelaras kepada semua aktiviti pergerakan itu.
Jelasnya Sekretariat itu wujud tanpa diletakkan di bawah mana-mana parti komponen BN.
"Kita akan memberi kakitangan yang cukup untuk memastikan sekretariat ini dapat memberi penyelarasan kepada setiap komponen Pemuda BN," ujarnya.
Bagi organisasi Pemuda BN, beliau turut mengumumkan pengwujudan satu jawatan baru iaitu Ketua Strategi Pemuda BN yang akan disandang oleh Neil Foo daripada MCA.
"Antara peranan Ketua Strategi ini adalah untuk merangka strategi bagi pilihanraya umum akan datang khususnya bagi menawan semula kawasan-kawasan yang kalah", katanya.
Pada masa yang sama, Pemuda BN kata beliau lagi akan perkukuhkan supaya wujud satu entiti yang bukan hanya wujud pada waktu pilihan raya sahaja tetapi bergerak pada setiap waktu dan setiap masa.
"Kita juga setuju untuk mengadakan kursus kepimpinan atau khemah kerja kepimpinan Pemuda BN dalam masa terdekat untuk kita semua bincangkan isu-isu sejagat yang kita boleh ketengahkan sebagai Pemuda BN.
"Selepas ini kita akan mesyuarat dengan lebih kerap dan akan buat pendirian serta kenyataan bersama sebagai Pemuda BN dan bukan sebagai parti-parti komponen", ujarnya.
Mengenai isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tegasnya Pemuda BN telah membuat pendirian bersama bahawa isu tersebut bukanlah isu yang berhubungkait dengan kaum tetapi ia adalah isu ketelusan dan keadilan mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan sendiri oleh kerajaan.
"Kita dapati bukan isu kaum dapat lebih dan kaum lain pula dapat kurang tetapi kenapa salah seorang pelajar yang tidak sepatutnya dapat biasiswa ke luar negara tetapi dapat dan kenapa seorang pelajar daripada kaum yang sama yang layak untuk dapat biasiswa pergi ke luar negara tiba-tiba tidak dapat dan ditawarkan biasiswa dalam negara.
"Ini contoh yang berlaku dalam masayarakat Melayu, Cina dan India", katanya.
Justeru beliau berkata Pemuda BN membuat pendirian untuk merayu kerajaan melihat semula kepada pembahagian biasiswa JPA.
"Pembahagian yang telah ditetapkan sebelum ini cukup baik dari segi meritokrasi, peratus kaum, Sabah dan Sarawak serta lain-lain.
"Soalnya adalah kenapa 280 pemohon biasiswa JPA yang mendapat ‘straight’ A1 tidak dapat biasiswa. Jadi bagi Pemuda BN, kita tidak perlu lihat masalah ini daripada kanta perkauman", ujarnya.
Dalam mesyuarat yang diadakan malam tadi juga beliau turut menyatakan Pemuda BN merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah mengemudi Pemuda BN selama ini dalam tempoh yang cukup panjang, lebih 11 tahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment