TAIP 'KB' DAN HANTAR SMS KE 33555

TAIP 'KB' DAN HANTAR SMS KE 33555
A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESS OWNER. PLEASE TYPE 'KB' AND SEND SMS TO 33555

TYPE 'KB' & SEND SMS TO 33555. A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESSMAN/WOMAN ALL OVER MALAYSIA!

TYPE 'KB' & SEND SMS TO 33555. A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESSMAN/WOMAN ALL OVER MALAYSIA!
A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESS OWNER ALL OVER MALAYSIA. TYPE 'KB' AND SEND SMS TO 33555. ESTABLISH A NETWORKING AMONG KELANTANESE BUSINESS COMMUNITY.

Sunday, November 28, 2010

ARTIKEL : MEMULIH SOKONGAN RAKYAT TERHADAP BN




Memulih sokongan rakyat

Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK

SEMUA orang telah sedia maklum bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008 telah mencatatkan satu rekod yang sangat buruk bagi parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) sejak merdeka.

Setelah kehilangan kuasa di Kelantan sejak 1990 kepada Pas, empat negeri lagi termasuk dua negeri tempat kelahiran dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, jatuh ke tangan parti pembangkang.

Kedah kini dikuasai oleh Pas, Pulau Pinang oleh DAP, dan Selangor oleh PKR. Negeri Perak agak bernasib baik walaupun telah dikuasai buat seketika oleh pakatan pembangkang. Hasil daripada proses percaturan politik yang sangat kritikal, Perak akhirnya kembali ke tangan BN.

Walaupun BN masih berjaya membentuk kerajaan pusat pasca PRU ke-12 yang lalu, apa yang jelas di sini ialah sokongan rakyat terhadapnya semakin terhakis sedikit demi sedikit. Kemenangan BN dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, walaupun sangat membanggakan, tetapi ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur yang tepat terhadap sokongan rakyat kepada BN. Ini kerana PRU dan PRK mempunyai faktor-faktor mempengaruhi yang agak berlainan antara satu sama lain.

Dalam konteks PRU, ia bersifat sangat menyeluruh. Ini kerana PRU melibatkan seluruh negara berbanding dengan PRK. Apabila demikian, sudah tentu banyak pihak mempunyai kepentingan sendiri dan terselindung. Malah ‘nilai’ PRU adalah sangat besar kalau dibandingkan dengan ‘nilai’ PRK. Sebagai contoh, kita boleh menilai sendiri betapa pentingnya PRU di kawasan-kawasan Parlimen tertentu seperti Pekan, Pagoh, Bagan Datoh, dan mungkin Putrajaya, berbanding dengan kawasan-kawasan Parlimen lain seperti di Sabah dan Sarawak.

Apa yang pasti di sini adalah PRU ke-12 sudah pun berlalu dan BN telah kehilangan banyak negeri ke tangan pakatan pembangkang. Jawapan kepada persoalan ‘kenapa BN boleh tewas,’ sudah pasti kerana merosotnya sokongan rakyat terhadapnya. Tidak ada jawapan-jawapan yang lain. Justeru itu, untuk memastikan BN menang dan mengekalkan kuasanya di tangan kerajaan pusat menjelang PRU ke-13, aspek sokongan rakyat terhadapnya mesti ‘dipulihkan’ terlebih dahulu. Ini kerana tanpa sokongan rakyat, BN tidak akan mendapat jumlah undi yang mencukupi bagi melayakkannya membentuk kerajaan pusat di Putrajaya.

Senario pertambahan jumlah keahlian dalam kalangan parti-parti komponen BN misalnya tidak boleh dijadikan hujah yang kuat bahawa BN sudah diterima oleh rakyat. Parti-parti komponen dalam BN mungkin mempunyai jumlah keahlian yang ramai dan mungkin melebihi jumlah mereka yang menganggotai parti-parti pembangkang. Jika semua ini benar, bagaimana BN boleh kalah dan hilang empat negeri ke tangan pakatan pembangkang, selain jumlah undi yang diperoleh di negeri-negeri lain turut merosot dengan teruk.

Apakah mungkin ada segelintir ahli parti dalam komponen BN itu sendiri tidak mengundi calon BN dalam PRU ke-12? Jelas sekali di sini bahawa jumlah keahlian dalam parti tidak menggambarkan sokongan dan undi yang bakal diterima oleh sesebuah parti tersebut dalam PRU. Undi kepada sesebuah parti tersebut bukan sahaja datang daripada ahli parti, malah ia juga boleh datang daripada ahli parti pembangkang, dan mungkin juga daripada mereka yang tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti politik.

Apa yang pasti ialah cara yang digunakan oleh BN sejak bertahun-tahun hingga ke PRU ke-12 yang lalu mungkin sudah layak dimasukkan ke dalam Muzium Negara. Untuk memastikan BN menang besar dan membentuk kerajaan pusat di Putrajaya menjelang PRU ke-13 akan datang, satu strategi politik yang sangat ampuh dan jitu mesti diwujudkan. Kita difahamkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO baru-baru ini telah menyebut mengenai satu bentuk ‘transformasi politik’ yang dikatakan bakal ‘mewarnai’ senario politik negara termasuklah dalam BN dan UMNO khasnya. Pun begitu, sejauh manakah berkesannya idea transformasi politik ini masih menjadi tanda-tanya.

Sebagai tambahan kepada idea transformasi politik ini, beberapa strategi lain mungkin boleh dipertimbangkan untuk mengukuhkan lagi idea transformasi politik yang sedia ada. Antara strategi-strategi tersebut ialah:

# Pertama, menyusun semula gerak-kerja semua parti komponen BN.

# Kedua, mengurangkan ‘publisiti percuma’ menerusi media cetak dan elektronik terhadap pakatan pembangkang.

# Ketiga, menyasarkan kempen ‘menawan hati dan minda’ pengundi dari kumpulan kelas pertengahan.

# Keempat, memberi keutamaan terhadap faktor calon ‘anak tempatan’ dalam PRU ke-13 akan datang.

# Kelima, memberi keutamaan terhadap persiapan bagi menghadapi PRU ke-13 daripada memberi keutamaan terhadap persiapan untuk kepentingan peribadi semata-mata, dan

# Keenam, mengurangkan campurtangan ahli keluarga, kaum kerabat, dan rakan taulan yang bukan ahli parti dalam hal ehwal pengurusan parti kecuali untuk tujuan-tujuan yang baik.

PRU ke-13 akan datang mungkin akan menjadi satu ‘perang besar’ antara BN dan pakatan pembangkang. Sehubungan itu, faktor calon seharusnya diberi pertimbangan yang serius. Hari ini, terdapat dua jenis calon untuk pilihan raya. Calon jenis pertama terdiri daripada golongan yang dikatakan mempunyai ‘kabel besar’ dengan pemimpin-pemimpin tertinggi parti dan biasanya datang daripada ‘atas’. Kadang-kadang, calon jenis ini juga disebut sebagai ‘calon payung terjun’.

Manakala calon jenis kedua pula terdiri daripada golongan yang karier politiknya bermula dari ‘bawah’ dan mempunyai sokongan yang sangat kuat daripada akar umbi parti. Calon jenis yang kedua ini biasanya lebih berkaliber untuk ‘kerja-kerja politik’ termasuk sebagai wakil rakyat berbanding dengan calon jenis yang pertama. Calon jenis ini juga lebih mengenali persekitaran dan penduduk serta semua masalah di kawasannya.

Sungguhpun begitu, setiap kali tiba musim PRU, calon jenis yang pertama inilah yang sudah pasti akan dinamakan sebagai calon parti dalam PRU berbanding dengan calon jenis yang kedua. Hujah ini bukan untuk menidakkan peluang semua golongan pelbagai peringkat dalam parti untuk dipilih sebagai calon dalam PRU, tetapi untuk seketika, khasnya untuk persiapan menjelang PRU ke-13 ini, saya berpendapat bahawa strategi meletakkan calon pilihan bukan dari akar umbi adalah satu strategi yang salah dan akan ‘memakan tuan’.

Calon jenis yang kedua, dari pilihan akar umbi ini, juga boleh disebut sebagai calon ‘anak tempatan’ mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang dalam PRU ke-13 nanti. Lihatlah contoh beberapa siri PRK yang dimenangi oleh BN di mana calon yang dipilih semuanya calon jenis yang kedua, dan bukannya jenis yang pertama.

Jelas sekali, usaha untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap BN mesti dijadikan matlamat utama dalam usaha menjayakan proses transformasi politik. Tanpa sokongan yang kuat daripada rakyat, tidak mungkin BN akan mempunyai cukup undi untuk membentuk kerajaan pusat. Walaupun jangka masa untuk PRU ke-13 masih agak jauh, namun perancangan yang teliti mesti diadakan untuk memastikan momentum BN bagi menghadapi ‘perang besar’ PRU ke-13 ini dapat dikekalkan hingga ke harinya.

Penulis ialah Pensyarah Sains Politik di Program Pengajian Antarabangsa (INTAFF), Kolej

Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian

Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia

No comments:

Post a Comment