Mencontohi perjuangan dan keperibadian Rasulullah
SEMALAM, seluruh umat Islam menyambut Maulidur Rasul 1423 Hijrah. Ia sebagai ingatan kita kepada kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sudah pastilah, kita akan sering diperingatkan mengenai pengorbanan dan perjuangan Rasulullah SAW yang membawa cahaya kebenaran kepada umat manusia melalui kitab suci al-Quran.
Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuklah beribadah kepada Allah SWT.
Baginda bukan sahaja mempunyai peribadi yang mulia, malah menjadi pemimpin unggul sepanjang zaman.
Atas sebab itulah, kita sering dinasihatkan untuk mencontohi baginda dalam apa juga perkara yang kita lakukan termasuklah dalam soal perpaduan ummah. Pada tahun ini, tema sambutan Maulidur Rasul ialah '1Malaysia 1Ummah'. Biarpun ada pihak yang alergi dengan slogan 1Malaysia ini, namun ia bukanlah bermakna kita harus meminggirkannya begitu sahaja.
Rasulullah SAW adalah penyatu ummah, kehadiran baginda membawa rahmat kepada seluruh umat manusia dan sepanjang hayat baginda, Rasulullah SAW sentiasa menyerapkan kasih sayang sesama manusia tanpa mengira sama ada mereka itu umat Islam atau tidak.
Baginda menyeru umat Islam bersatu padu dan berpegang teguh kepada tali Allah dan pada masa yang sama sentiasa memastikan golongan bukan Islam tidak dizalimi. Itulah pendekatan yang dibawa oleh kerajaan negara kita. Perpaduan menjadi platform penting dalam usaha menyatukan pelbagai kaum di negara ini.
Begitulah juga dalam kehidupan peribadi, kalau kita sebagai umat Islam sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh, sudah pasti kita akan menjadi antara umat yang terbaik.
Sifat-sifat mulia yang ada pada baginda sepatutnya mampu mendorong kita menjadi umat Islam yang mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Tetapi malangnya, ada antara kita sengaja melupakan anugerah Allah melalui kehadiran baginda Rasulullah SAW. Seruan untuk mencontohi baginda tidak begitu dipedulikan. Mungkin buat seketika kita akan mendengar tetapi kemudian akan kembali kepada perangai lama kita.
Apa yang paling malang apabila ia melibatkan kepimpinan di dalam politik di mana terlalu ramai ahli politik yang tidak mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW. Walaupun ada sesetengah mereka bergelar ulama, namun sikap dan tindakan mereka sering sahaja menyebabkan umat Islam menjadi keliru.
Oleh itu, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, marilah kita benar-benar menghayati dan mencontohi keperibadian Rasulullah SAW. Janganlah kita sekadar hanya bercakap dan menguar-uarkan tetapi tiada usaha dilakukan bagi memastikan Rasulullah SAW bukan hanya sekadar diingati tetapi juga dicontohi.
Langkah itu penting dalam usaha memastikan kita mampu menjadi hamba Allah yang bertakwa dan umat Islam yang cemerlang dalam apa juga bidang yang kita ceburi. Semoga sambutan Maulidur Rasul akan mengeratkan silaturahim sesama kita dalam usaha bersama-sama membangunkan negara tercinta ini.
Tuesday, February 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment