TAIP 'KB' DAN HANTAR SMS KE 33555

TAIP 'KB' DAN HANTAR SMS KE 33555
A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESS OWNER. PLEASE TYPE 'KB' AND SEND SMS TO 33555

TYPE 'KB' & SEND SMS TO 33555. A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESSMAN/WOMAN ALL OVER MALAYSIA!

TYPE 'KB' & SEND SMS TO 33555. A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESSMAN/WOMAN ALL OVER MALAYSIA!
A DIRECTORY FOR KELANTANESE BUSINESS OWNER ALL OVER MALAYSIA. TYPE 'KB' AND SEND SMS TO 33555. ESTABLISH A NETWORKING AMONG KELANTANESE BUSINESS COMMUNITY.

Tuesday, February 15, 2011

ARTIKEL: DIGINITI MELAYU ABAD KE 21


Digniti Melayu abad ke-21

Oleh RUHANIE AHMAD
HIPOTESIS artikel ini adalah konsep ketuanan Melayu bukannya elitis, tidak diwujudkan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, atau untuk menyanggah aspirasi melahirkan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Sebaliknya, konsep ini wujud untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan bumiputera yang daif serba-serbi akibat penjajahan selama 446 tahun. Dalam erti kata lain, ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era pasca-merdeka.

Ini kerana Persekutuan Tanah Melayu adalah entiti negara yang diwujudkan oleh para pemimpin multi keturunan menerusi kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957. Malaysia juga terbentuk daripada permuafakatan multi etnik di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura. Maksudnya, sebelum Tanah Melayu dijajah mulai 1511 hingga 1957, bumi ini adalah gabungan negeri-negeri Melayu yang dikategorikan sebagai negara-bangsa kerana majoriti rakyatnya terdiri daripada satu rumpun bangsa yang sama, berkongsi sejarah dan warisan budaya yang serupa, serta berasal dari wilayah geografi yang satu, iaitu kepulauan Nusantara (rujuk Buzan 1983:36-72).

Sejarah silam juga membuktikan bangsa Melayu adalah bangsa yang mempunyai digniti yang tersendiri sejak berkurun lamanya. Lantas, bukan satu jenayah untuk membicarakan konsep ketuanan Melayu dalam konteks Malaysia kontemporari. Ini kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang wujud bersama sejarah bumi Melayu yang kini diidentitikan sebagai Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu juga tidak boleh ditafsirkan sebagai instrumen penindasan atau diskriminasi terhadap rakyat bukan Melayu dan bukan bumiputera. Sebaliknya, konsep ini diterjemahkan ke dalam pelbagai dasar dan program pemerintah supaya wujud keseimbangan dalam survival dan digniti warganegara Malaysia yang berbilang keturunan dalam era merdeka.

Hakikatnya, perjuangan memajmukkan Tanah Melayu menerusi kemerdekaan tidak diterima sepenuhnya oleh majoriti bangsa Melayu pada era pra-merdeka. Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Perikatan terpaksa menghadapi cabaran serius daripada kalangan UMNO dan bangsa Melayu di luar UMNO yang curiga implikasi perjuangan memerdekakan negara bersama-sama keturunan Cina dan India di hari muka.

Tetapi, Tunku Abdul Rahman tetap bertegas. Beliau menegaskan "ada yang berkata kita (orang Melayu) hendak berlawan dengan Raja-raja Melayu. Tetapi, tuduhan yang palsu ini tidak ada tempat dalam perjuangan kita kerana kita telah mengisytiharkan bersama-sama MCA bahawa kita akan menjaga dan memelihara taraf raja kita dan juga agama kita yang maha suci." (Tunku Abdul Rahman 2009:76).

Kenyataan ini membuktikan bahawa kemerdekaan tanah air pada 1957 adalah perjuangan yang mengiktiraf keindukan Melayu, status Raja-raja Melayu, serta kedudukan Islam sebagai agama orang Melayu. Ia juga membuktikan bahawa ketuanan Melayu diiktiraf oleh seluruh pejuang kemerdekaan yang multi keturunan bukan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, tetapi untuk memanifestasikan kesinambungan sejarah kewarganegaraan Melayu di bumi Melayu dalam era pra-penjajah.

Antara buktinya, Perikatan secara sebulat suara memperakukan bahawa Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu (Ahmad Ibrahim 1978:48). Hakikat ini membuktikan bahawa perkara khusus mengenai Islam dan struktur kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah antara dua peruntukan penting yang dimaktubkan sebagai manifestasi permuafakatan bangsa Melayu, keturunan Cina, dan keturunan India dalam era menjelang merdeka.

Kedua-dua peruntukan ini bukannya dimaktubkan atas dasar ketuanan Melayu, sebaliknya atas dasar kesinambungan sejarah pra-merdeka dan dasar memelihara keselamatan masyarakat serta keselamatan nasional. Lantas, apakah kaitannya konsep ketuanan Melayu dengan kedua-dua peruntukan ini sehingga wujud pihak yang mencadangkan supaya konsep ini digantikan dengan konsep ketuanan rakyat kononnya supaya anak-anak membesar dengan visi 'bangsa bermaruah' atau 'Melayu bermaruah'?

Konsep ketuanan Melayu juga sering dikecam menerusi perspektif dasar afirmatif kerajaan yang berpaksikan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks ini, tidak ramai antara kita menyedari hakikat bahawa dasar-dasar berkenaan adalah sebahagian daripada ciri-ciri keselamatan insan, ekonomi dan nasional Malaysia sejajar dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberikan digniti kepada insan manusia (rujuk mukadimah the Universal Declaration of Human Rights 1948).

Lantaran itu, segelintir parti siasah yang mendakwa sebagai jaguh hak asasi manusia sejagat semestinya menginsafi hakikat bahawa bangsa Melayu dan bumiputera adalah kelompok warganegara Malaysia yang kehilangan digniti ekonomi dan sosialnya akibat polisi-polisi penindasan penjajah yang silih berganti selama 446 tahun.

Lantas, apa faedahnya dibangkit dan diungkit soal kuota 30 peratus yang dikhususkan kepada Melayu dan bumiputera menerusi Dasar Ekonomi Baru apabila kedua-dua kelompok ini langsung tidak pernah mempersoalkan kuota 70 peratus yang dinikmati bukan Melayu dan kapitalis asing di Malaysia selama ini?

Oleh sebab itulah, orang Melayu dan bumiputera menyifatkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai dasar afirmatif yang berindukkan perkara ini sebagai sesuatu yang suci, manakala sesetengah orang bukan Melayu mempersoalkan peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hingga ke hari ini. Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, makna peruntukan tersebut di dalam perlembagaan adalah kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju. (Faaland, Parkinson & Rais Saniman 2002:16).

Sebagai balasan kerana diberikan perlindungan menerusi Perkara 153, orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu. Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijamin mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan bahasa mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan. (ibid: 17).

Demikianlah semangat yang lahir daripada konsep ketuanan Melayu yang dijelmakan menerusi Perikatan dalam era menjelang kemerdekaan tanah air. Konsep tersebut tidak pernah membakar atau menyemarakkan sentimen perkauman di Malaysia sebelum munculnya konsep Malaysian Malaysia dalam tempoh 1963-1965 yang mempertikaikan seluruh perkara strategik dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya mengenai bahasa Melayu, agama Islam serta hak dan keistimewaan Melayu dan bumiputera (rujuk Ghazali Ismail 1990).

Setelah Singapura tersingkir dari Malaysia pada 1965, konsep Malaysian Malaysia diteruskan perjuangannya oleh DAP sebagaimana terkandung dalam the Setapak Declaration yang diperakukan dalam kongres DAP pertama pada 29 Julai 1967. Deklarasi tersebut menjadi prinsip panduan perjuangan DAP sejak kelahirannya. (salinankarbon.com 14 Julai 2009).

DAP mengaplikasikan prinsip deklarasi ini dalam PRU 1969 dengan menyerang MCA kerana menyerahkan hak-hak keturunan Cina kepada UMNO menerusi Perikatan. Platfom DAP ketika itu adalah Setapak Declaration of Principles yang secara prinsipnya menentang hegemoni Melayu dan menyokong konsep Malaysian Malaysia. (Comber 2001:65).

Ini membuktikan bahawa isu mengenai struktur kewarganegaraan Malaysia, bahasa Melayu, agama Islam, Raja-raja Melayu, dan keistimewaan bangsa Melayu serta bumiputera hanya menjadi isu politik akibat kemunculan konsep Malaysian Malaysia yang kemudiannya diperjuangkan oleh segolongan parti pembangkang di Malaysia.

Kesimpulannya, ketuanan Melayu adalah konsep yang memanifestasikan kesinambungan sejarah dan tamadun Melayu sebelum tanah air ini dijajah selama 446 tahun. Ia bukannya konsep yang mengagungkan bangsa Melayu, sebaliknya, konsep yang memberikan digniti kepada bangsa Melayu, sama seperti digniti keturunan bukan Melayu di negara asal masing-masing.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor yang sedang mengikuti kursus pasca-siswazah dalam Jurusan Strategi dan Keselamatan di UKM Bangi.

No comments:

Post a Comment